Rabu, 18 Ogos 2010

Tindak Tanduk Manusia Ditentukan Sejak Dari Azali Lagi?


Qada dan qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari  azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian  seperti mana yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, sebelum kejadian alam  semesta, Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti  dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang  telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen  perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini  tidak dapat diubah sampai ke bila-bila. Allah menetapkan kaum wanita dan  bukannya kaum lelaki yang mengandung dan melahirkan anak dan hakikat ini juga  tidak boleh diubah. Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan  telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai ke bila-bila.
Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang  pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang  lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari  azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi  hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat. Justeru,  hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian  daripada ketetapan qada dan qadar.

Yang selalu dipersoalkan tentang qada dan qadar ialah, adakah tindak tanduk  manusia juga telah ditentukan oleh Allah sejak dari azali lagi? Syed Sabiq di  dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: "Imam Al-Khathabi telah berkata:  'Ramai orang mengira qada dan qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan  manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah  berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku  berhubung semua perkara..' Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan  mempengaruhi kehendak hamba itu."
Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir. Manusia dapat menolak  takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan  oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat  dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, khalifah Omar  Al-Khattab ra enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia  sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada  Omar ra: "Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?' Omar ra menjawab: "Aku lari  dari takdir Allah kepada takdir yang lain." (Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia  malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya  sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari  ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi  telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.
Hinggakan dalam bab mencari jodoh, nabi sendiri menyuruh kita memilih pasangan yang betul. Oleh kerana kita disuruh memilih secara yang betul, kita mempunyai  pilihan. Justeru, berusahalah dan dalam konteks perkahwinan berusahalah untuk  mencari jodoh berdasarkan landasan agama dan mintalah petunjuk Allah  tentangnya. Allah tidak pernah menzalimi manusia.

RUJUKAN: BUKU 'EMPAYAR MINDA MUSLIM' OLEH DR DANIAL BIN ZAINAL ABIDIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan