Rabu, 18 Ogos 2010

Tindak Tanduk Manusia Ditentukan Sejak Dari Azali Lagi?


Qada dan qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari  azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian  seperti mana yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, sebelum kejadian alam  semesta, Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti  dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang  telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen  perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini  tidak dapat diubah sampai ke bila-bila. Allah menetapkan kaum wanita dan  bukannya kaum lelaki yang mengandung dan melahirkan anak dan hakikat ini juga  tidak boleh diubah. Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan  telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai ke bila-bila.
Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang  pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang  lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari  azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi  hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat. Justeru,  hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian  daripada ketetapan qada dan qadar.

Yang selalu dipersoalkan tentang qada dan qadar ialah, adakah tindak tanduk  manusia juga telah ditentukan oleh Allah sejak dari azali lagi? Syed Sabiq di  dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: "Imam Al-Khathabi telah berkata:  'Ramai orang mengira qada dan qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan  manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah  berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku  berhubung semua perkara..' Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan  mempengaruhi kehendak hamba itu."
Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir. Manusia dapat menolak  takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan  oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat  dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, khalifah Omar  Al-Khattab ra enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia  sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada  Omar ra: "Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?' Omar ra menjawab: "Aku lari  dari takdir Allah kepada takdir yang lain." (Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia  malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya  sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari  ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi  telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.
Hinggakan dalam bab mencari jodoh, nabi sendiri menyuruh kita memilih pasangan yang betul. Oleh kerana kita disuruh memilih secara yang betul, kita mempunyai  pilihan. Justeru, berusahalah dan dalam konteks perkahwinan berusahalah untuk  mencari jodoh berdasarkan landasan agama dan mintalah petunjuk Allah  tentangnya. Allah tidak pernah menzalimi manusia.

RUJUKAN: BUKU 'EMPAYAR MINDA MUSLIM' OLEH DR DANIAL BIN ZAINAL ABIDIN

Selasa, 17 Ogos 2010

KETAHANAN JIWA IBADAT PUASA


BERPUASA Ramadan bukan sekadar berlapar atau dahaga, malah mempunyai rahsia dan nikmat lebih daripada itu. Dr Yusuf Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan ada lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadat ini.

Menguatkan Jiwa

Dalam hidup, kita mendapati ada manusia yang dikuasai hawa nafsu. Manusia seperti ini, menuruti apa yang menjadi keinginannya, meskipun ia sesuatu yang batil serta mengganggu dan merugikan orang lain.

Oleh itu, dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk menguasainya, bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu bersifat duniawi. Sekiranya dalam peperangan ini (hawa nafsu) manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar akan berlaku. Ini kerana manusia yang kalah itu akan mengalihkan pengabadiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia pada kesesatan.

Allah memerintahkan kita memerhatikan masalah ini dalam firman-Nya bermaksud : “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jaathiyah, ayat 23)

Dengan puasa, manusia akan berjaya menguasai nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat. Dengannya manusia memperoleh darjat tinggi serta menjadikannya mampu mengetuk dan membuka pintu langit hingga segala doanya dimakbulkan Allah.

Rasulullah bersabda, ertinya : “Ada tiga golongan orang yang tidak ditolak doa mereka: Orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

Mendidik Keinginan Ke Arah Kebaikan.

Puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan kepada kebaikan, meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik.

Rasulullah menyatakan bahawa puasa itu setengah daripada kesabaran. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Puasa itu sebagai benteng (daripada serangan keburukan).”

Dalam kaitan ini, puasa akan menjadikan rohani seorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani unggul ini akan membuatkan seseorang itu tidak akan lupa diri meskipun sudah mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi. Kekuatan rohani juga akan membuat seorang Muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.

Menyihatkan Badan

Di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan). Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah, malah dibuktikan oleh doktor atau ahli perubatan.

Mengenal Nilai Kenikmatan Dan Bersyukur

Dalam hidup ini, sebenarnya terlalu banyak kenikmatan diberikan oleh Allah kepada manusia, tetapi ramai yang tidak mensyukurinya. Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan dua. Dapat dua tidak terasa nikmat kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya.

Maka, dengan puasa manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi kenikmatan yang diperoleh, malah diminta merenung nikmat Allah kepada kita.

Di sinilah, pentingnya puasa bagi mendidik untuk menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang Allah berikan supaya kita menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah. Rasa syukur memang akan membuat nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya.

Allah berfirman bermaksud : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Mengingati Dan Merasakan Penderitaan Orang Lain

Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam), sementara penderitaan orang lain entah bila berakhir. Dari sini puasa akan melahir dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum Muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan menderita.

Oleh kerana itu, sebagai simbol dari rasa simpati itu, sebelum Ramadan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat (fitrah). Ini supaya dengan itu setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan umat yang menderita. Bahkan, zakat tidak hanya bagi kepentingan orang miskin dan menderita, malah menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir.

Allah berfirman bermaksud : “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah at Taubah, ayat 103)

Tasbih FATIMAH


Barang siapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia meninggal dunia malam itu, dia akan dikira sebagai mati syahid. Apa itu Tasbih Fatimah?  Subhanallah 33 X, Alhamdulillah 33 X, Allahuakbar 33 X. 

Isnin, 16 Ogos 2010

SIFAT HATI YANG BERSIH


1.     Sensitif dengan Tuhan – tidak mensyirikkan Allah dan benci kepada sesuatu yang dibenci Allah.
2.     Jika dikurniakan kesenangan, sentiasa bersyukur atas pemberianNya.
3.     Merasa resah dengan dosa dan noda yang dilakukan.
4.     Sentiasa merasa diri diawasi Pencipta.
5.     Bila ditimpa ujian dan musibah, redha dengan takdirNya.
6.     Merendah diri dan merasa hina di hadapan Allah.
7.     Bersyukur dan berterima kasih atas nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya.

Ahad, 15 Ogos 2010

Menunggu Waktu Berbuka Puasa


 
"Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka." -HR Bukhari Muslim

Tiada yang lebih dinantikan selama waktu berpuasa sepanjang siang melainkan waktu berbuka puasa.  Apabila tiba Maghrib, maka muslimin yang berpuasa disunatkan agar menyegerakan berbuka lantaran ganjaran pahala yang lebih banyak daripada mereka yang menunda waktu berbuka.Rasulullah SAW juga menyeru umatnya agar tidak tergesa-gesa ketika berbuka puasa.  Makanlah dengan sewajarnya namun janganlah pula sehingga habis waktu untuk menunaikan solat Maghrib.  Ini sejajar dengan sabda Baginda yang bermaksud:
"Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat Maghrib dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu."  -HR Bukhari Muslim

Mendahului berbuka dengan memperbanyakkan doa adalah suatu yang dituntut kerana Allah SWT telah berjanji akan mengabulkan doa mereka yang berpuasa.  Sebaiknya hendaklah doa yang meminta supaya diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan pada masa lalu.  Doa ini bukan sahaja dituntut ketika hendak berbuka puasa wajib tetapi juga ketika berpuasa sunat.

Terdapat beberapa doa pilihan yang boleh dijadikan pedoman ketika berbuka, iaitu:·
-    "Allahumma laka shumtu wa 'alaa rizqika afthartu."
(Ya Allah, demi Engkau, aku puasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka)
-    "Alhamdulillahiladzi a'aanani fashumtu wa razaqani fa afthartu." 
(Segala puji bagi Allah, tuhan yang menolongku, sehingga aku (sanggup) berpuasa dan memberiku rezeki, sehingga aku (dapat) berbuka)
-   "Allahumma laka shumnaa wa 'alaa rizqika aftharnaa, fa taqabbal minnaa innaka antas samiiul 'aliim."
(Ya Allah, demi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka, maka terimalah (puasa) dari kami.  Sesungguhnya Engkau benar-benar Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)
-    "Allahumma inni as 'aluka bi rahmatikallati wasi'at kulla syai'in antaghfiralii." 
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang luasnya meliputi segenap (makhluk) agar Engkau mengampuni diriku)
Menurut Imam Nawawi dalam Kitab Al-Azkar, doa-doa berbuka puasa tiada yang sahih.  Rasulullah  SAW bersabda bahawa setiap individu boleh berdoa apa sahaja sesuai dengan keinginan mereka.  Namun sebagai manusia biasa, adakalanya doa yang dipanjatkan tidak dimakbulkan Allah SWT.  Jika hal ini berlaku maka kita hendaklah mengkaji di mana kesilapan kita.  Mungkin juga makanan atau minuman yang kita ambil datang daripada sumber yang tidak sah kerana salah satu syarat supaya doa kita dimakbulkan ialah sumber makanan kita haruslah daripada sumber yang halal.
    
Bukan sahaja dari segi makan minum harian, malah kita sepatutnya lebih teliti dalam melakukan dan memperkatakan apa jua perkara, termasuklah dalam urusan yang kita anggap sebagai kecil dan remeh-temeh.  Masalah tidak akan  timbul jika kita menyelesaikan perkara yang kecil terlebih dahulu sebelum ianya menjadi lebih besar.