Dr Abdul Salam Muhammad Shukri
Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kahwin mutaah ialah kahwin sementara atau akad nikah yang dilakukan dengan syarat ditentukan tempoh, seminggu, sebulan, dua tahun dan sebagainya. Ia berasal daripada tradisi Arab jahiliah. Pada waktu berkenaan seorang pedagang, misalnya, apabila mengunjungi kota Makkah, dia memerlukan seorang perempuan sebagai teman dalam tempoh tertentu. Dia boleh berkahwin sementara dengan perempuan Makkah selepas ditentukan masa dan bayarannya. Islam mengharamkan nikah seperti ini (Dusuki Ahmad, 1988: 243).
Antara sebab ia tidak dapat diterima dan diharamkan ialah ia tidak menepati semangat perkahwinan dan sistem kekeluargaan Islam. Nikah mutaah tidak mampu menjadikan perhubungan dan kehidupan suami isteri penuh dengan kebahagiaan dan kemesraan. Ia juga tidak mampu mewujudkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama suami isteri. Anak yang lahir juga tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Manakala taraf wanita menjadi rendah dan mudah dieksploitasikan. Islam mengharamkan nikah mutaah kerana sebab negatif berkenaan.
Ayat 24 surah an-Nisa bermaksud: “…kemudian mana-mana mereka [iaitu perempuan yang menjadi isteri kamu] yang kamu nikmati percampuran dengannya, maka berikanlah mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan.”
Ayat al-Quran berbentuk umum ini digunakan untuk nikah mutaah. Nikah mutaah pada mula dibenarkan pada masa permulaan Islam, tetapi kemudian diharamkan. Menurut Ibn Rushd, riwayat hadis daripada Rasulullah secara mutawatir mengharamkan nikah itu. Perselisihan yang timbul hanya mengenai masa ia diharamkan sahaja. Ada yang menyatakan pada hari Khaibar, pembukaan Kota Makkah, perang Tabuk, haji wida dan sebagainya. Bagaimanapun, pendapat umum menyatakan Ibnu Abbas menghalalkan nikah mutaah. Beliau turut berdalil dengan ayat al-Quran di atas.
Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas berpendapat nikah mutaah adalah semata-mata rahmat Allah kepada umat Muhammad dan sekiranya Umar tidak melarangnya, nescaya zina tidak berlaku kecuali dari kalangan orang jahat sahaja (Ibn Rushd, II: 97). Secara umum seluruh mazhab empat mengharamkan nikah mutaah. Ini kerana ia menetapkan had waktu sesuatu perkahwinan. Hanya golongan aliran Syiah yang minoriti membenarkannya. Mungkin ia sebagai tarikan untuk menyokong aliran terbabit.
Dengan itu masyarakat Islam tidak boleh menghalalkannya kerana sudah sabit pengharaman nikah mutaah. Mengenai kemungkinan zina dapat dielakkan dengan nikah mutaah ia tidak dapat dinafikan seperti daripada kata-kata Ibnu Abbas itu. Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan di atas, nikah mutaah tidak mencapai hikmah di sebalik perkahwinan. Ia mungkin dapat membendung nafsu manusia semata-mata, tetapi gagal mencapai hikmah perkahwinan yang lain.
Rasulullah sendiri tidak pernah berkahwin secara nikah mutaah. Dengan itu sekiranya kita benar-benar mahu mengambil Baginda sebagai contoh teladan yang baik (uswah hasanah), nikah mutaah sudah tentu tidak diikuti. Dengan itu, pendapat majoriti di kalangan mazhab Islam hendaklah diterima dan diikuti kerana ia mempunyai asas fiqah yang benar dan sesuai dengan hikmah perkahwinan itu sendiri. Usahlah diikuti pendapat minoriti yang sesuai dengan rasa hati dan keinginan semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan